MIOR MUHAMMAD QAWIEM

Pengurus Unit
Agensi imtiyaz Ar-Raudhah

Kata Alu-aluan

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara,
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.


Assalammualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera. Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah, Nabi yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Selawat dan salam juga ke atas ahli keluarga baginda,para sahabat dan semua yang mengikut jejak-jejak mereka sehingga hari kiamat.

Pertamanya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana masih diberi ruang dan peluang untuk melakarkan sepatah dua kata sebagai pengasas Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy.

Izinkan saya mencoretkan serba sedikit tentang diri saya. Saya dilahirkan pada tanggal 3 Oktober 1990 di Hospital Kuala Lumpur. Saya mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perakaunan. Saya pernah berkhidmat sebagai jurubank di Public Bank. Saya juga mempunyai pengalaman dalam bidang Multi-Level Marketing selama 3 tahun. Menyedari hakikat tentang kepentingan pengurusan risiko kewangan, saya kemudiannya memulakan karier sebagai perunding kewangan di AIA Public Takaful ketika berumur 23 tahun pada tanggal Oktober 2013. Setelah hampir setahun perjalanan saya dalam industri kewangan ini, saya berjaya melayakkan diri saya menjadi Assistant Unit Manager pada tanggal Julai 2014. Pada Januari 2017, saya sekali lagi berjaya melakarkan sejarah diri saya menjadi Unit Manager. Apa yang lebih membanggakan, saya merupakan antara Unit Manager termuda yang mencapai kejayaan ini pada usia 26 tahun.

Setelah itu, saya menubuhkan agensi saya iaitu Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy pada tahun 2017 di Serdang Perdana, Seri Kembangan. Sepanjang agensi Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy ini ditubuhkan, terdapat beberapa kejayaan yang direkodkan. Antaranya ialah;

1. 1st Runner Up AIA National Awards Presentation

2. 1st Runner Up AIA Regional Awards Presentation

3. Million Dollar Agency 2017

4. Million Dollar Agency 2018

Alhamdulillah dan sekalung tahniah serta terima kasih saya ucapkan kepada semua perunding kewangan yang berada di bawah empayar Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy kerana menjadi penggerak utama dalam mencapai kejayaan-kejayaan ini. Diharap agar Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy akan melakarkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Dikesempatan ini, saya juga ingin menyatakan hasrat dan harapan saya kepada orang awam tentang pengurusan kewangan. Sedia maklum bahawa Malaysia berkembang maju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Sudah tentu perbelanjaan akan bertambah dalam setiap fasa kehidupan. Jadi, perancangan kewangan yang rapi sangat penting untuk mencapai taraf kehidupan yang lebih sempurna.

Terkesan dengan ucapan Penolong Gabenor Negara, Encik Abu Hassan Alshari Yahaya ketika Tema Bulan Celik Kewangan pada tahun 2012 iaitu “Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya”, saya mengambil inisiatif untuk melatih perunding kewangan di bawah naungan Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy memberikan penerangan yang jelas serta telus dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam supaya mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang pengurusan kewangan yang berhemat, maklumat produk dan perkhidmatan kewangan, pelaburan, polisi insuran dan takaful, pengurusan hutang dan lain-lain lagi. Semoga dengan penerangan yang diberikan oleh perunding kewangan Imtiyaz Ar-Raudhah Consultancy dapat memberikan impak kepada orang awam dalam membuat keputusan yang baik terhadap struktur kewangan mereka.

Akhir kata, sekali lagi saya panjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana memberi saya kekuatan dalam menerajui industri kewangan yang kompetatif dan akan berusaha untuk meletakkan AIA Public Takaful ini sebagai jenama utama di mata perunding kewangan dan orang awam.

Terbenam mentari di waktu senja,
Indah sekali dipandang mata,
Menyusun jari di akhir bicara,

Salah dan silap maaf dipinta.